Ada luka yang amat pedih menikam jantungku saat aku melihat wajah-wajah putih suci itu yang tidak berdosa terlumur darah bagaikan air sirap. Entahlah darah siapa. Darah mereka. Darah ayah, darah ibu, darah kakak, darah abang, darah adik-adik dan mungkin darah teman-teman sepermainan mereka di situ.
Ada sakit yang amat sakit, yang amat menjadi sesuatu yang paling derita untuk hati. Ketika aku menyaksikan teriak seorang wanita menggendong seorang anak yang berlumuran darah, kehilangan satu tangan akibat ledakan bom. Entahlah anak siapa. Anak wanita itu mungkin, atau anak kakaknya, anak adiknya atau anak-anak kecil teman-teman sepermainannya.
Ada perih yang tak tertahankan melihat para lelaki tua memegang senjata di usia senja mereka, bertatih-tatih demi melindungi isterinya. Melindungi anak-anaknya, melindungi cucu-cucunya, menjaga tempat tinggalnya dan tanah air yang tercinta. Jika kau bertanya apakah erti cinta itu padaku? Itulah cinta, aku ulangi, itulah cinta. Melindungi sampai akhir nafas tanpa kepura-puraan demi apa yang kau cintai dengan sepenuh hatimu hingga pada akhirnya pergi menghadap Tuhan.
Ada amarah meledak dijiwaku, ketika aku menyaksikan pasukan-pasukan itu berkeliaran di udara dengan pesawat meledakan bom-bom diatas tanah itu, tanah para Sang Nabi. Dan ada murka yang tak terbendung, menyaksikan kedurjanaan mereka, kekejaman dan kezaliman mereka, keganasan mereka, kegilaan mereka dan sifat kebinatangan mereka. Meledakan setiap sumber kehidupan mereka dan menghancurkan kebebasan rakyat Palestin.
Ada rindu yang ku kirimkan dengan jutaan cahaya. Doa-doaku untukmu, semoga baik-baik saja dalam jagaan-Nya. Bertahanlah dulu melalui penat jerih dunia, walau aku tahu deritamu masih tiada penghujung, masih mengalir air mata kerana sakit, masih pilu kedengaran jeritan, ceceran darah masih belum kering, kerana saat ini perang masih berlangsung. Akan aku doakan kedamaian bagimu saudara saudariku. Usahlah gentar dan takut wahai kesayangan Tuhan, teruslah bertahan berjuang membela bangsamu. Hingga ke titisan darah yang terakhir. Darah itu akan menjadi saksi di sana bahawa kau adalah manusia yang berani. Dan batu yang kau gunakan untuk melawan musuh juga akan menjadi saksi di hadapan Tuhanmu nanti. Maka, teruslah berjuang tanpa rasa takut.
Masih ada yang menyambung perjuangan Sang Nabi dihujung duniamu, dia akan hadir nantinya dalam ada atau tiada melindungimu atas keizinan yang Maha Agung, yang menciptakan langit dan bumi dan makhluk-makhluk lainnya yang DIA kehendaki di dunia yang fana ini, meskipun ribuan mata tidak pernah tahu kehadirannya. Insya-Allah, dengan izin-Nya Yang Maha Berkuasa. Sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik penolong bagimu.
Untukmu Palestin teruslah gagahkan hatimu. Penat lelahmu di dunia akan terbalas dengan nikmatnya syurga yang sangat indah.