Setiap daripada kita yang mendirikan rumahtangga, pasti mengimpikan kebahagiaan yang acap kali disebut sebagai 'happily ever after', kan?
Namun pada hakikatnya, bukan mudah untuk kita mengecapi bahagia secara total kerana kita semua tidak sempurna dan mempunyai kekurangan masing-masing.
Walau bagaimanapun, kita boleh mengaplikasikan tips-tips tertentu dalam kehidupan berkeluarga ini agar kita menjadi insan yang bahagia lagi membahagiakan.
Jom kita sama-sama ikuti 5 tips tersebut.
1. SOLAT AWAL WAKTU
Umum mengetahui bahawa solat adalah tiang agama yang mana ia adalah perkara yang paling utama berbanding perkara-perkara lain di dunia ini.
Oleh itu, didik diri untuk sentiasa menunaikan solat di awal waktu agar diri kita berasa lebih tenang dan bahagia.
Apabila kita bahagia, barulah kita dapat memberi kebahagiaan buat pasangan.
2. BACA AL-QURAN
Walau sesibuk mana pun kita melakukan tugasan harian, bacalah Al-Quran setiap hari walaupun sekadar satu halaman.
Usahakan juga untuk membaca terjemahan Al-Quran agar kita memperoleh ilmu dan pengajaran yang terkandung di dalamnya serta memahami peringatan yang disampaikan oleh Allah S.W.T buat kita para hambaNya.
Dengan konsisten membaca ayat-ayat Allah di dalam Al-Quran setiap hari, jiwa kita pasti terasa damai serta bahagia dan seterusnya kita dapat membahagiakan insan lain.
3. SELAWAT DAN ZIKIR
Manfaatkan masa terluang yang ada dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan juga berzikir.
Usah disia-siakan masa yang ada. Sambil kita memandu, beratur, mencuci pinggan atau mengemas rumah juga kita masih boleh berselawat dan berzikir ini.
Untung kita nanti.
Kerja selesai, pahala pun dapat.
Bukan itu sahaja, hati kita pun akan rasa bahagia dan kita dapat membahagiakan pasangan.
4. MURAH SENYUMAN
Cara paling mudah untuk kita beroleh pahala dan bahagia adalah dengan senyum kerana senyuman itu adalah sedekah.
Jadilah individu yang pemurah dengan senyuman agar hati kita sentiasa bahagia dan kelak kita mampu membahagiakan pasangan.
Mudah-mudahan, dengan selalu menghadiahkan senyuman manis buat pasangan, rumahtangga kita sentiasa sejahtera dan aman bahagia hendaknya.
5. BERSANGKA BAIK
Tidak kira sama ada kita sedang melalui perkahwinan jarak jauh mahupun tinggal sebumbung, bersangka baik dengan pasangan adalah kunci utama kebahagiaan rumahtangga.
Bersangka baik terhadap pasangan dapat membuatkan kita rasa tenang dan bahagia, sekaligus dapat mewujudkan suasana yang harmoni dengan membahagiakan pasangan.
Yakin bahawa Allah telah mengaturkan segala yang terbaik buat kita.
Andai kita telah bersangka baik terhadap pasangan tetapi pasangan masih tidak jujur, pasti Allah akan tunjukkan kebenarannya kepada kita kelak.
Mulai hari ini, ayuh kita praktikkan kelima-lima tips ini dalam kehidupan seharian kita.
Kelak, kita bukan sahaja dapat mengecapi ketenangan dan kebahagiaan, malah turut dapat membahagiakan pasangan.
Mudah-mudahan, istana yang dibina bersama pasangan akan kekal bahagia hingga ke syurga.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar