Kamis, 03 November 2022

Jadilah Seorang Insan Yang Pandai Untuk Bersyukur


 Ramai yang menderita apabila hidupnya memburu kasih sayang manusia. Ibubapa menangis apabila anak-anak tidak menyayanginya, anak-anak menangis apabila ibubapa tidak sayanginya, adik beradik berhasad dengki dalam merebut cinta ibubapanya.

Suami isteri dicengkam prasangka bimbang tidak disayangi, teman-teman bergaduh berebut untuk disayangi, pelbagai kekecewaan akan menghantui apabila merasai diri tidak disayangi.

Berpalinglah dari kepenatan memburu kasih sayang manusia, tetapi buru lah kasih sayang Allah. Diri mu dicipta untukNya bukan untuk sesiapa. Sayangilah manusia kerana Allah ﷻ, jadikan kasih sayang sebagai ibadah mu, bukan bertujuan untuk mendapat balasan kasih sayang manusia.

Jika kamu disayangi maka syukurlah diri mu pada Allah ﷻ, jika kasih sayang mu tidak dihargai, maka ingatlah Allah ﷻ tetap dan sentiasa menyayangi mu, cintaNya semakin mendalam pada mu jika segala perbuatan mu adalah untuk mencari CintaNya.

Kosongkan hati mu selain dari Allah ﷻ, jika engkau betulkan hati mu kepada Allah ﷻ, nescaya Dia akan betulkan hati-hati manusia kepada mu, jika engkau berpaling dari dunia, dunia akan mendatangi mu.

Jangan sekali menyalahkan takdir, takdir sudah terbaik untuk mu, namun apabila engkau tak dapat menerima takdir yang menguji mu hingga engkau melakukan hal yang salah mengikut emosi mu, maka engkau binasakan diri mu, bukannya Allah ﷻ yang zalimi mu. 

Kesalahan membawa hidup penuh penyesalan. Namun selagi nafas masih berjalan pada diri mu, bermakna Allah ﷻ memberi peluang membetulkan kesalahan mu. Jika mereka yang engkau bersalah telah meninggal dunia, maka tebuslah kesalahan mu,  lakukan amal yang baik sebagai hadiah untuknya. Di atas dunia kita tak boleh bahagiakan mereka, insyallah Allah ﷻ memberi peluang untuk kita bahagiakan mereka di akhirat.

Gunakan anugerah nafas untuk membetulkan kompas kehidupan. Jadikan segala kelakuan mu memburu cinta Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, nescaya engkau akan mendapat kebahagiaan yang hakiki.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar