Kamis, 03 November 2022

Siapa Aku Di Hadapan Tuhanku


 SUBUHNYA ..

di mana aku berada

masih enak dalam kelambu rindu

sambil berfoya-foya dengan waktu

masa bagaikan menderu

langkah tiada arah tuju

fikiran terus bercelaru

terlupa aku semakin dihujung waktu

siapa aku di depan Tuhanku.


ZOHORNYA ..

aku lebih memikirkan kelaparan

kehausan dan rehatku

aku lebih mementingkan

tuntutan jawatanku

aku bertolak ansur dengan waktu

aku gembira membilang keuntungan

aku terlupa betapa besar kerugian

jika aku mengadaikan ketaatan

siapa aku di depan Tuhanku.


ASARNYA ..

aku lupa warna masa

cepat berubah bagaikan ditolak-tolak

aku masih dengan secawan kopiku

terlupa panas tidak dihujung kepala

aku masih bercerita

tentang si Tuah yang setia

dan si Jebat yang derhaka

siapa aku didepan Tuhanku.


MAGHRIBNYA ..

aku melihat warna malam

tetapi aku masih berlegar

di sebalik tabirnya

mencari sisa-sisa keseronokan

tidak terasa ruang masa yang singkat

jalan yang bertongkat-tongkat

ruginya bertingkat-tingkat

siapa aku di depan Tuhanku


ISYAKNYA ..

kerana masanya yang panjang

aku membiarkan penat

menghimpit dadaku

aku membiarkan kelesuan

menggangguku

aku rela terlena

sambil menarik selimut biru

bercumbu-cumbu dengan waktuku

siapa aku di depan Tuhanku.


kini aku menjadi tertanya-tanya

sampai bila aku akan

melambatkan sujudku

apabila azan berkumandang lagi

aku tidak akan membiarkan

Masjid menjadi sepi

kerana di hujung hidup ada mati

bagaimana jenazah

akan dibawa sembahyang di sini

jika ruangku dibiarkan kosong

jika wajahku menjadi asing

pada mentari dan juga bintang-bintang.


Siapa Aku Di Depan Tuhanku

Tidak ada komentar:

Posting Komentar